The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Selangor FC

May 30, 2022 - FAS

29 Mei 2022, Tanjung Karang, Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 bersama TDC Holdings Sdn Bhd dan Tanjung Karang FC yang diadakan khas buat para penyokong Gergasi Merah bagi meraikan bersama bulan Syawal yang penuh kemeriahan ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh Tetamu Kehormat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, merangkap Pengerusi Selangor FC, YB Tan Sri Noh Bin Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, En Hafiz Hiew, CEO TDC Holdings Sdn Bhd, Dato Shahrizal Sahri, Presiden Tanjong Karang FC, Altimet selaku penyanyi dan penulis lagu Langgam Gendang Perang serta para pemain utama dan pegawai Selangor FC.

Lokasi pilihan program ini di Institut Pengurusan Peladang, Tanjung Karang adalah bagi memberi peluang kepada penyokong-penyokong yang berada di sekitar Kuala Selangor dan Kelab ini untuk lebih saling mendekati sambil beramah mesra kerana julung kali Selangor FC menganjurkan program sebegini di luar Shah Alam atau Petaling Jaya.

Menurut Dato Shahrizal Sahri, Presiden Tanjong Karang FC (TKFC), ini merupakan suatu pengalaman yang manis buat penduduk di sekitar Tanjung Karang kerana ramai penduduk di sekitar kawasan ini juga merupakan penyokong setia Selangor FC. "Saya amat gembira apabila Selangor FC sudi bekerjasama untuk menjayakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini kerana selalunya program-program sebegini lebih berpusat di bahagian ibu negeri yang saya rasa agak jauh buat penyokong-penyokong di sini untuk ke sana. Melalui majlis sebegini, kita dapat lihat kegembiraan dan kemeriahan apabila penduduk di sini beramah mesra bersama pemain-pemain Gergasi Merah dengan lebih dekat."

Manakala, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut berkata, “Program ini adalah tanda pihak pengurusan sangat mengambil berat usaha untuk mendekati penyokong-penyokong di semua daerah sekitar Selangor. Kami mempunyai banyak perancangan untuk merapatkan lagi penyokong di negeri ini bersama pasukan dan saya lihat ini adalah salah satu contoh yang terbaik. Alhamdulillah majlis ini berjalan dengan lancar seperti yang telah direncanakan hasil sokongan semua pihak seperti TKFC dan rakan penaja seperti TDC Holdings.”

Pengerusi Selangor FC, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor turut hadir memeriahkan majlis dan mengucapkan rasa gembira baginda apabila melihat sambutan yang diadakan kali ini menerima sambutan dan mampu melahirkan ikatan yang lebih rapat di antara penyokong, penduduk setempat, rakan penaja bersama Kelab ini.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik lain yang turut dijalankan sepanjang program ini antaranya adalah jamuan aidilfitri bersama penyokong, persembahan buskers, penjualan jersi baharu Selangor FC, tasting booth oleh TDC, dan sesi beramah mesra bersama pemain-pemain pasukan Gergasi Merah dan Altimet.

Selangor FC turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 ini. Semoga lebih banyak lagi program boleh dijalankan di seluruh daerah Selangor bagi sama-sama mengeratkan silaturahim antara kelab dan para penyokong.

Demi Kebanggaan.